Friday, January 30, 2009

Keluh Sampai Peluh

Mungkin penyebabnya adalah cuti yang agak panjang. Buat aku terasa lengai.


Entah mengapa badan aku terasa lemah sekali. Mungkin kerana antibodi aku sudah kurang. Aku hanya makan gaji buta saja.


Tapi setelah mengisi perut tengahari. Aku kembali bersemangat untuk tidak memakan gaji buta. Lantas aku terus melakukan kerja aku seperti biasa.


Baru 5 hari aku tinggalkan. Tapi ada benda yang membuatkan aku marah. Rasa membuak-buak hati aku nak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mereka itu.


Apa boleh buat, para-paradikma di dalam diri aku ini tak mengizinkan aku untuk sedekahkan kata-kata kesat aku kepada mereka. Hanya mengeluh di tengah hari terik sahaja. Sampaikan berpeluh satu badan.


Sekurang-kurangnya aku tetap juga berpeluh. Walaupun tidak bersenam.

Wednesday, January 21, 2009

Al - Kisah Tersebutlah Kisah

Jam loceng menjalankan tugasnya seperti sebelumnya.
Berdering hingga terbuka mata yang sedang diulit mimpi.

Dicapai lemah tuala belang-belang.
Sambil mata masih berkelip-kelip kecik ke bilik mandi.
Ubat gigi dipicit-picit hingga keluar isi putih. Kumur.

Kulit muka juga perlu diberi penjagaan yang sempurna.
Air dicurah meliputi badan berserta buih-buih sabun.

Dikenakan pakaian seperti sedia kala.
Kemeja-T bersama seluar slack.
Rambut hanya dibetulkan tanpa sikat.

Galasan beg silang dan topi keledar tandanya siap sedia untuk memanaskan enjin kenderaannya. Dinyalakan rokok sebelum memasukkan gear 1.

Ketika inilah waktu yang sangat memerlukan keberanian dan kecekapan membonceng di dalam kawasan sesak dan sempit.
Kaki dan tangan perlu cepat bertindak.



Peringkat keberanian dan kecekapan tamat.

Sesi pemboncengan jarak jauh memerlukan kedudukan pinggang yang selesa.
Berjaga-jaga dengan kenderaan berat yang laju.
Ketika ini mata memainkan peranan yang penting untuk senantiasa menjeling ke arah cermin sisi.


Hampir 35 minit keseluruhannya.


Tiba sudah di tempat pencarian rezeki.
Dibuka pintu.
Dinyalakan lampu.
Dihidupkan penghawa dingin.

Menapak 20 langkah untuk bersarapan roti coklat mahupun jagung.
Hanya perlukan air mineral.
Balik semula di tempat berhawa dingin.
Dinyalakan rokok selepas makan.
Hampir 30 minit lamanya untuk merehatkan badan yang bergegar di atas jalan raya.


Topi keselamatan di pakai.
Kasut keselamatan dimuatkan.

Langkah dibuka ke kawasan pembinaan yang masih belum siap.
Kaki dijaga dari terkena objek tajam.
Kepala dipantau dari terkena barang jatuh ke bawah.

Matahari sudah mula menyinar.
Mata mula mengecil.
Dahi mula mengerut.
Badan mula berpeluh.



Tanggungjawab perlu dilaksanakan.
Perbetulkan yang salah.
Perkemaskan yang selerak.
Perbaikkan yang buruk.


Beritahu sebelum berjalan.
Lapor selepas siap.
Balik sesudah habis.


Tiba di rumah agak gelap.
Bersihkan diri jika larat.
Hiburkan hati melayani cerita.
Membentang tilam.


Sambil tangan sibuk menaip di komputer riba.
Hingga kelopak mata tertutup.

Sedang Kita

Sedang kita memilih menu di depan kaunter MacDonald's.
Sedang kita mengaut sebungkus dua Kit-Kat.
Sedang kita bersihkan gigi menggunakan Colgate.
Sedang kita tampak segak berpakaian Marks & Spencer.


ISRAEL TERSENYUM!


Sedang kita meneliti menu berlatarbelakangkan Starbucks.
Sedang kita melayar ke laman web dengan perisian Intel.
Sedang kita berfesyen dengan kasut baru berjenama Timberland.
Sedang kita mencuci muka dengan botol terpampang L'Oreal.


ISRAEL GEMBIRA!


Sedang kita selesa mengenakan tuala wanita Kotex.
Sedang kita suka memandikan anak-anak dengan cecair Johnson & Johnson.
Sedang kita leka meminum Coca-Cola.
Sedang kita sedap menghayati Danone Yogurt.


ISRAEL BERTEPUK TANGAN!


Sedang kita mencuci muka menggunakan tisu Kleenex.
Sedang kita bergaya dengan telefon bimbit Nokia.
Sedang kita gembira membeli-belah di Tesco.
Sedang kita mengunyah rangup butiran coklat Nestle.


ISRAEL MENDABIK DADA!


Sedang kita berbangga memperagakan Calvin Klein.
Sedang kita menghadiahkan kanak-kanak permainan Disney.
Sedang kita asyik menonton filem aksi mahupun romantis 20th Century Fox Films.
Sedang kita kenyang dengan mee Maggi.


ISRAEL BERPESTA!


Sedang kita membancuh Nescafe.
Sedang kita menjamu kucing dengan Friskies.
Sedang kita mengunyah lazat Jacob Biscuits.
Sedang kita meneguk lega Sprite.


ISRAEL MENYERANG UMAT ISLAM!


____________________________________________________
Tak akan mampu untuk kita menepis butiran peluru.
Tak akan mampu untuk kita merempuh kereta kebal.
Tak akan mampu untuk kita menghalang bedilan fosforus putih.
Hanya mampu membantu dengan selemah-lemah pertolongan.